Aku membelek-belek halaman buku rujukan Sejarahku, sekali-sekala mengeluh. Peperiksaan akhir tahun semakin menjelang. Kini, aku sedang bersiap-sedia untuk menghadapinya. Pada pandangan orang lain, pelajar sepertiku, tidak perlu mengulang kaji pelajaran. Pada pandangan orang lain, aku memang sudah pandai. Setiap kali, guru memujiku. Setiap kali, guru pasti menjadikan aku sebagai teladan untuk dicontohi orang lain. Namun, aku bukanlah pandai secara semula jadi pada hakikatnya. Kadang-kadang, aku juga akan menemui jalan buntu dalam pelajaran. Namun, disebabkan usahaku setiap hari, keputusanku tetap merupakan keputusan yang terbaik dalam seluruh tingkatan lima. Bahkan, aku merupakan pelajar harapan bagi sekolahku, sebuah sekolah yang ternama di kota metropolitan ini. Aku, pelajar utama yang menggalas harapan sekolah untuk memperoleh sepuluh A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang akan datang lima bulan lagi.
Tekanan, langsung tidak diberi oleh ibu bapaku. Mereka langsung tidak memaksaku untuk mendapat keputusan ini, keputusan itu. Tekanan – hanyalah diberi oleh kawan-kawanku, guru-guru dan insan lain. Aku sering cuba untuk mengekalkan keputusanku. Namun, muncul seorang jejaka kolot dalam hidupku.
Seorang jejaka kolot, namanya Firdaus, baru sahaja tiba di sekolahku, di kelasku. Kata orang, keputusannya di sekolah lama, memang mengagumkan. Ramai orang yang mencabarnya, untuk mengalahkanku. Bohonglah aku jika aku berasa tidak gentar. Namun, satu prinsip yang aku sering amalkan. Apa jua yang akan berlaku, aku tidak peduli. Apa yang paling penting, aku telah cuba, telahpun menunjukkan yang terbaik. Bagiku, sesuatu keputusan tidak penting. Apa yang penting adalah prosedurnya.
Dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Taekwondo dan Naib Pengerusi Persatuan Badminton, aku ingat, dia haruslah mempunyai banyak peminat, terutamanya perempuan. Namun, sangkaanku meleset sama sekali. Pertama - penampilannya, memang kolot betul. Dia tidak reti bergaya seperti para belia yang lain. Kedua – bakatnya, memang menakutkan orang. Dia seperti, langsung tidak mempunyai apa-apa masalah dalam apa jua bidang. Hanya sehari dalam kelas, dia mampu memukau perhatian setiap guru yang mengajar kelasku. Ketiga – perangainya, memang mengecewakan ramai peminatnya. Dia sudah terlampau cool, sehinggakan langsung tidak bercakap dengan sesiapa, tidak kira lelaki, mahupun perempuan. Dia sudah terlampau diam, peneman setianya, hanyalah bukunya. Walaupun aku sering mendapat tempat pertama, aku tidaklah ‘gila’ sepertinya. Adakah dia sudah sewel? Dia tidak perlukan kawan ke? Tidak sunyikah dia? Pelbagai persoalan mula menerjah mindaku.
xxxxx
Aku semakin kesuntukan masa, aku mempercepat langkahku ke kantin. Tiba-tiba, bahuku terlanggar bahu seseorang.
“Sorry..” Aku berpaling, kemudian terkejut. Alamak! Aku terlanggar si Firdaus itu.
“Maaf ya..” Aku berkata sekali lagi. Namun, dia tidak mempedulikanku, terus berlalu dari sisiku! Aku tersinggung seketika. Biadap betul si mamat ini!! Kalau dia marahkanku, tak perlulah berkelakuan sebegini, memang memalukanku sahaja!!
Aku tidak menghiraukannya lagi, terus bergegas ke kantin untuk mengisi perutku yang kosong sekarang.
xxxxx
Sejak insiden hari itu, jejaka kolot yang selama ini tidak pernah memandangku, telah berubah perangainya. Aku semakin pelik. Di dalam kelas, dia asyik merenungku. Itulah yang kuperhatikan selama ini. Aku bukanlah terlebih perasan. Aku mengamati perlakuannya dari ekor mataku. Tidak kira apa yang sedang aku buat, dia asyik sahaja merenungku. Rakanku di sebelahku, turut menyedarinya. Namun, aku berpura-pura selamba, tidak ingin menghiraukannya, kerana tatkala aku mengenangkan insiden hari itu, hatiku menjadi sakit.
Tanggapanku terhadapnya yang baik selama ini, musnah sekelip mata. Semuanya dek insiden hari itu. Aku ini memang pantang dengan orang yang biadap. Pada pandanganku, dia sudah terlampau dingin. Kalau dia marahkanku, marah sahajalah! Ini tidak, dia langsung tidak menghiraukanku tatkala aku memohon maaf daripadanya. Aku tahulah, aku tidak cantik. Namun, takkanlah aku memang hodoh sampai dia tidak ingin memandangku walaupun hanya sekali?
Eh, apa sudah jadi denganku ini? Mengapa aku berang? Aku memang sudah masak dengan perangainya kan? Mengapa aku sakit hati tatkala dia tidak melayaniku? Apakah yang telah terjadi padaku? Adakah aku….? Oh, tidak!!!!!
xxxxx
Aku semakin gentar. Aku telah menyertai pertandingan badminton anjuran MRSM ini, dalam acara perseorangan wanita bawah 18 tahun. Tanpa disangka-sangka, aku berjaya masuk ke final, satu bonus yang paling besar buatku! Namun, lawanku pada hari ini, merupakan juara bertahan yang hebat dan ternama. Gadis tinggi lampai berbangsa Cina ini, pernah mewakili negara kita, untuk bertanding di persada antarabangsa.
Kini, pertandingan sudah pun bermula. Aku memasuki gelanggang, menghadapinya. Aku cuba menenangkan diri, cuba untuk tidak berasa takut.
Pusingan pertama – dimenangi oleh Joey Leong – juara bertahan itu.
Aku menuju ke arah jurulatihku. Tanpa kusangka, si mamat itu, berdiri di sebelah jurulatihku. Tatkala aku terpandangnya, jantungku berdegup kencang. Renungannya cukup tajam, dalam, menusuk tangkai hatiku. Aku malu-malu kucing, tidak berani merenungnya. Aku mencapai tualaku dan mengesat peluhku. Seterusnya, menantikan nasihat jurulatihku untuk membantuku dalam pusingan kedua.
“Firdaus.. cakaplah ngan Nurul..” Jurulatihku berkata. Aku mengerutkan dahiku. Apa maksud jurulatih?
“Kelemahan awak.. adalah di belakang gelanggang.. oleh itu, awak harus membalas pukulan Joey dengan perlahan, supaya bulu tangkis jatuh di hadapan gelanggang. Barulah awak mampu mengawal bulu tangkis dengan baik.. selain itu, bila awak membalas pukulan Joey, lekas kembali ke tengah gelanggang..” Firdaus menasihatiku. Aku terdiam, mengangguk.
Setelah wisel ditiup, aku kembali semula ke gelanggang, menghadapi Joey Leong. Segala nasihat Firdaus sebentar tadi, aku ingati. Aku amalkan ajarannya, dengan semangat yang berkobar-kobar. Gambateh, Nurul Amirah!!!
xxxxx
Aku memang ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Firdaus, jejaka kolot aka dingin itu. Tanpa nasihatnya, tanpa kehadirannya, aku percaya – aku tidak mampu mengalahkan Joey Leong, juara bertahan itu. Rakan-rakanku, mengucapkan tahniah kepadaku tatkala aku meraih kemenangan tersebut. Tatkala aku keluar dari gelanggang, kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi. Aku mengeluh. Namun, tidak mengapa! Bukannya aku tidak akan menemuinya selepas ini. Dalam hidup Nurul Amirah, tidak pernah disangka akan tercapainya kejayaan seperti hari ini.
xxxxx
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bakal menjelang. Pelajar-pelajar Tingkatan Lima, semakin sibuk dengan buku. Tidak terkecuali juga aku. Namun, apa yang pelik – Firdaus langsung tidak berkepit dengan buku lagi kini. Cuma, dia turut menumpukan perhatian di dalam kelas sahaja.
Aku semakin mengaguminya. Walaupun insiden dia tidak menghiraukanku beberapa bulan yang lepas masih kuat terpahat dalam ingatanku, aku tidak lagi sakit hati dengannya. Selepas pertandingan badminton tersebut, sekali-sekala, dia melemparkan senyuman manis kepadaku.
Aku pula, semakin menyenanginya. Tanggapan burukku padanya, sudah semakin pudar dari sehari ke sehari. Namun, dia tetap kolot, tetap dingin seperti dahulu. Argh, tidak! Adakah aku mencintai jejaka kolot?
xxxxx
Sekelip mata, dua tahun telahpun berlalu. Aku kini, melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam dalam jurusan perniagaan antarabangsa. Insya-Allah, satu hari nanti, bakal businesswoman yang berjaya – Nurul Amirah binti Haji Ishak!!
Jejaka kolot itu pula, dia tidak melanjutkan pelajaran di kampus yang sama denganku. Aku agak kecewa, kerana sejak Hari Anugerah Cemerlang sekolahku tamat, kami langsung tidak berhubung lagi. Aku menyesal, kerana tidak meminta nombor telefonnya, mahupun alamat e-melnya.
Dia, melanjutkan pelajaran di UiTM Pulau Pinang, dalam jurusan kedoktoran. Aku akui, aku semakin merinduinya kini. Di UiTM Shah Alam ini, bukannya sedikit mamat yang cuba memikatku. Namun, hatiku seolah-olah sudah diserahkan sepenuhnya kepada jejaka kolot itu.
Apakah yang harus kulakukan kini? Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini!!!!
xxxxx
Dek kecederaan pada kakiku beberapa bulan yang lepas, aku tidak dapat menyertai acara sukan antara universiti yang dianjurkan oleh pihak universitiku. Walaupun aku agak kecewa, aku tetap tabah dan bersabar demi keadaan kakiku hari muka nanti.
Ramai universiti yang menghantar wakil untuk menyertai pertandingan ini, dalam acara squashy, tennis, badminton, bola sepak, bola keranjang dan ping pong. Aku terpaksalah menjadi penonton sahaja, bukan peserta. Aku mencapai tongkatku dan menuju ke arah gelanggan badminton. Ingin benar aku saksikan acara badminton perseorangan lelaki, wanita dan beregu hari ini.
xxxxx
Aku terperanjat! Kelibat seseorang telah menarik perhatianku – Firdaus!!! Mengapa dia berada di sini? Eh, aku ini memang nyanyuk! Dia sudah tentu mewakili UiTM Pulau Pinang. Serta-merta, aku mengimbas kembali detik-detik, dia menasihatiku di gelanggang badminton semasa aku vs Joey Leong beberapa tahun yang lalu. Aku tersenyum sendirian, kemudian cepat-cepat mematikan lamunanku, bimbang disedari orang lain.
Tiba-tiba, dia merenungku. Aku menjadi kalut. Lantas, aku cepat-cepat menoleh ke gelanggang badminton yang lain. Hatiku menjadi berdebar-debar. Hanya kerana renungannya, jantungku berdegup kencang, mukaku merona merah. Aku menjadi tidak tentu arah, hatiku menjadi tidak keruan.
Setelah memastikan dia sudah memasuki gelanggangnya, barulah aku berpaling, menoleh ke arahnya. Apa yang aku sedar sekarang, jejaka kolot dua tahun yang lalu, telah berubah penampilannya kini. Rambutnya, kaca matanya, seraut wajahnya.. segala-galanya telah berubah. Pendek kata, sekarang, dia makin kacak pada pandanganku! Aaaa!! Malunya!!
Gaya dia bermain badminton.. gaya dia membuat servis.. gaya dia membalas pukulan lawan.. segala-galanya kelihatan sempurna pada mataku.. Mataku tidak lekang daripadanya, senyuman pula tidak lekang dari bibirku. Sungguh tidak disangka-sangka, aku akan menemuinya di sini setelah tidak saling berhubung selama dua tahun!
xxxxx
Aku berjalan terinjut-injut meninggalkan gelanggang badminton universitiku. Aku berjalan perlahan, dek kecederaan kakiku ini. Firdaus telahpun memenangi perlawanan sebentar tadi, dan akan memasuki perlawanan separuh akhir esok! Esok, aku pasti akan hadir, untuk menyaksikan perlawanannya.
Sesekali, aku mengerang kesakitan. Kaki kananku yang sedang cedera ini memang sering meragam. Memang cukup menyusahkanku!!
“Amirah..” Suara seseorang menyapaku dari belakang. Aku menoleh, terkejut!!
xxxxx
Kami berdua, masing-masing membisu seribu kata. Kami sedang duduk bersebelahan di gelanggang badminton yang sudah lengang kini. Tadi, aku memang terkejut. Sangkaku, dia sudah tidak mengenaliku. Namun, dia menyapaku pula.
“Awak.. apa khabar??” Dia mula bertanya, membuka topik perbualan.
“Baik.. awak?” Aku bertanya pula. Aku berasa kaku benar untuk berbual-bual dengan jejaka kolot ini! Oppss.. dia bukan lagi jejaka kolot, tetapi jejaka kacak kini!!
“Baik jugak.. Cuma asyik rindukan seseorang je..” Aku tersentak. Namun, aku berpura-pura selamba. Ingin benar aku menangis kini. Maknanya, Firdaus sudahpun mempunyai seseorang yang istimewa dalam hatinya. Orang itu, sudah tentu bukan aku!
“Hmm.. nape rindukan dia?” Aku bertanya saja-saja. Penyibuk betul aku ni kan? Tapi, hakikatnya, aku hanyalah mengambil berat orang yang aku cintai!! Salah ke???
“Sebab dah dua tahun tak jumpa..” Jantungku berdegup kencang tiba-tiba. Mungkinkah? Mungkinkah aku?? Aaa!! Jangan perasan, Nurul Amirah!!!
“Pas tu?” Suaraku bergetar hebat!
“Hari ni, jumpa balik ngan dia!” Aku semakin tidak keruan. Aku berperang dengan perasaanku sendiri. Mungkinkah dia menyukaiku? Dua tahun tidak berjumpa. Kemudian, berjumpa semula pada hari ini! Aku dan dia.. juga sebegitu. Ataupun hanya kebetulan sahaja?
“Tahniah la!” Hatiku tertanya-tanya. Ingin benar aku bertanya, siapa yang istimewa dalam hatinya?
“Tapi.. saya sedih jugak..” Aku pelik! Si mamat ni memang.. jumpa orang special pun sedih? Sewel ke?
“Nape?”
“Sebab.. kaki kanan dia cedera!” Dia menjawab selamba, seolah-olah tidak menghiraukan reaksiku. Aku pula, apa lagi? Terperanjat lah!! Firdaus sedang gurau ke??
“Hah?? Oh.. erm.. er..” Aku tergagap-gagap, tidak berani untuk membalas renungannya tika ini.
Dia turut membisu. Namun, jemarinya menjalar ke arah tangan kiriku. Tatkala jemari kami bersentuhan, hatiku bergetar hebat. Perlahan-lahan, dia mula mencapai tanganku. Hangatnya semakin terasa, jiwaku semakin hebat bergelodak.
“Mirah..” Dia memanggilku, romantis sekali. Seperti dipukau, aku membalas renungannya yang dalam, menusuk ke dalam tangkai hatiku.
xxxxx
Selepas lima tahun..
“Hi, Cik Amirah.. cari Doktor Firdaus ke?” Jururawat di hospital kerajaan itu menyapaku. Aku tersenyum sambil mengangguk. Aku masuk ke dalam pejabat teman lelakiku itu. Doktor Firdaus, doktor pakar kanak-kanak, kini bekerja di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
“Sibuk ke?” Aku bertanya tatkala dia tidak memandangku bila aku menapak masuk ke dalam pejabatnya. Kini, dia mendongak, menghentikan kerja-kerjanya. Dia bangkit dan mendapatkanku.
“Sorry sayang.. tadi khusyuk sangat buat kerja..” Dia memeluk bahuku. Aku tersenyum, langsung tidak kecil hati dengan kelakuannya sebentar tadi.
“Tak pe.. ramai ke patient hari ni??” Aku bertanya, mengambil tempat duduk di kerusi yang disediakan untuk pesakit.
“Hmm.. hospital kerajaan.. sejak bila kurang pesakit??” Dia memberitahuku. Aku tersenyum sekali lagi. Aku memang bahagia sekarang, bahagia apabila hidup bersama-sama dengan Wan Firdaus bin Haji Ismail ini.
Teman lelakiku, walaupun kolot semasa di bangku sekolah menengah, dia telahpun mengubah penampilannya apabila melanjutkan pelajaran di menara gading. Walaupun dia tetap dingin bila berhadapan dengan perempuan, dia tetap melayanku dengan mesra dan baik. Maklumlah, aku ini barulah teman wanitanya yang sebenar. Sudah lima tahun kami menjalinkan hubungan cinta, hubungan mesra. Semuanya bermula apabila dia mencapai tanganku di gelanggang badminton UiTM Shah Alam lima tahun yang lepas.
Aku tersenyum manis, tercuit dengan gelagatnya kadangkala. Jejaka kolot, aku tetap mencintaimu!!!! Dia yang telah menyambung semula kerja-kerjanya sebentar tadi, kembali merenungku. Agaknya, dia pelik bila aku asyik merenungnya sebegini.
“Kenapa ni, sayang?” Dia bertanya lembut, mencapai tanganku. Aku tersenyum, dan bangun. Kemudian, aku mendekatkan bibirku ada telinganya.
“Jejaka kolot, aku tetap mencintaimu!!!” Kalimah cinta yang ingin kuluahkan tujuh tahun yang lalu, semasa di bangku sekolah menengah, akhirnya terpacul jua dari bibirku.
“Hah??” Dia ternganga. Aku tergelak halus.
Novel Terbaru
Sila komen-komen.
Panahan Cinta 3 sudah disiarkan oleh penulis.
Tunggulah untuk episod seterusnya..
Panahan Cinta 3 sudah disiarkan oleh penulis.
Tunggulah untuk episod seterusnya..
Pembacaku^^
cerpenku..
Saturday, January 9, 2010
Jejaka Kolot, Aku Tetap Mencintaimu
Posted by jc at 12:27 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment