Air mata Fika mengalir deras, membasahi pipi mulusnya. Hatinya robek kini. Harapannya.. memang musnah! Dia langsung tidak menyangka, tragedi ini akan menimpa dirinya. Ah, sungguh malang betul dirinya ini.Laporan kesihatannya, dipegang erat. Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan perasaan dirinya yang sedang berkecamuk, dan bercelaru sekarang.
Dia mengambil tempat duduk seketika, di bangku yang disediakan di luar hospital. Air terjun rekaan manusia, yang sedang menari-nari di hadapannya, sekadar direnung kosong sahaja. Segala-galanya, seperti tidak mempunyai apa-apa makna dalam hidupnya lagi. Dia tunduk. Murung dan muram benar gadis yang berusia dua puluh enam tahun ini.
Dia cuba untuk membendung air matanya mengalir dari tubir matanya yang terasa kian hangat, dan sudah tentu berair ini. Namun, dia ternyata gagal. Air matanya, tidak henti-henti gugur dari kelopak mata. Setitis demi setitis, seperti hujan yang membasahi muka bumi ini.
Laporan kesihatan yang diserahkan oleh Doktor Razali kepadanya sebentar tadi, benar-benar memeranjatkannya. Dia, seperti seratus peratus tidak mampu mempercayai, dia sedang menghidap kanser sekarang! Dia, ingin benar sahaja menjerit, meraung sekarang.
Melepaskan geramnya, terhadap sebendang langit biru yang terbentang luas di angkasa.
Seketika kemudian, barulah dia sedar. Apalah dayanya untuk melawan aturan takdir? Berfikir dari sudut yang lain, mungkin Allah lebih menyayanginya, ingin mengambil nyawanya lebih awal daripada dijangkakan.
Meninggal? Perkataan itulah yang sering sahaja menghantui mindanya, melompat-lompat di hadapannya, walaupun ilusi semata-mata. Dia memajam matanya erat, enggan menghadapi realiti yang terbentang luas di hadapannya. Sebab ini juga, hatinya bagai dihiris sembilu, bagai dicarik-carik dengan taring anu! Keluhannya kian panjang, berat. Seperti dia, sedang memikul beban yang berat tidak terhingga!
Penyakitnya.. perlukah dia memaklumkannya kepada ahli keluarganya? Dan seseorang? Seseorang.. seseorang yang berkongsi suka, berkongsi duka bersama-sama dengannya. Seseorang, yang melafazkan janji, tidak akan meninggalkannya terkapai-kapai sendirian, merentangi laut sepi.
“Lukman..” Fika memanggil perlahan. Kelopak matanya terpejam erat, air matanya, gugur lagi.
xxxxx
Tersedu-sedan ibu Fika, seorang janda yang berhati mulia menangis. Dia memeluk anak daranya yang tunggal, erat sekali. Seperti tidak ingin melepaskannya pergi buat selama-lamanya.
“Fika…” Puan Mariam meraung, sambil menangis. Air mata Fika turut mengalir, membasahi baju kurung ibunya yang dicintai. Puan Mariam melepaskan pelukannya. Dia merenung anaknya dalam, dalam sekali.
“Fika.. Fika.. mak..” Puan Mariam tergagap-gagap. Lidahnya seperti terkelu, suaranya pula, bagaikan tersekat di kerongkong. Dia melepaskan pegangannya pada bahu anaknya. Dia tunduk. Dia memang gagal sekarang. Gagal mengawal perasaannya yang memang bercampur-baur sekarang.
“Mak..” Fika mengemas sisa-sisa tangisannya. Dia mencapai lembut tangan ibunya. Urat-urat tua, sudahpun kelihatan. Daging tua, semakin keras terasa. Rasa cinta, kasih dan sayang.. semakin dalam dari setiap saat, pada ibunya yang tercinta.
“Mak.. Fika cintakan mak!” Fika bertutur ikhlas. Dia mencium pipi ibunya. Dia cuba untuk mengekalkan keceriaannya, kegembiraannya di hadapan ibunya ini. Jika dia turut bermuram durja di hadapan ibunya, sudah pasti ibunya akan berasa lebih sedih. Dia harus tabah dan cekal. Demi ibunya!
“Fika.. Fika akan sembuh kan? Fika janji ya.. Fika takkan tinggalkan mak..” Puan Mariam bertutur, penuh mengharap. Fika terdiam buat seketika. Kemudiannya, dia mengangguk perlahan. Bersetuju dengan permintaan ibunya itu.
“Mak.. doktor cakap.. kalau Fika makan ubat.. mungkin akan hidup beberapa tahun lagi..” Puan Mariam tersentak seketika. Namun, dia tersenyum hambar pula selepas itu.
“Fika.. walaupun pendek je tempoh tu.. tapi.. tapi syukurlah Fika.. syukur..” Fika mengangguk, mengiyakan kebenaran kata-kata ibunya. Dia sedar. Dia harus bersyukur. Kerana dia masih mampu menghembuskan nafas pada detik ini.
xxxxx
Bingkai gambar itu, didakap kemas. Seperti sedang mendakap cintanya dengan Lukman. Lukman, seorang peguam yang agak terkenal sekarang. Lukman, seorang yang berbudi bahasa, tampan, berkeperibadian mulia, sentiasa bertakwa, sanggup berusaha dan taat mengerjakan perintah Allah. Lukman, jejaka pertama, yang mampu mencuri hatinya tatkala dua pasang mata saling bertaut buat kali pertama.
Air matanya menitis perlahan-perlahan. Membasahi bingkai gambar tersebut serba-sedikit. Segala memori manis, kenangan yang indah, terakam, terpahat kemas dalam sanubarinya. Fika kemudiannya mengeluh sekali lagi. Dia mengusap-usap gambar Lukman, mendakapnya erat pada hatinya, kemudiannya mengucupnya perlahan dan syahdu.
‘Lukman.. maafkan aku..’ Fika bertutur penuh sayu bersendirian. Tampaknya, dia terpaksa melupakan raja hatinya, terpaksa melupakan memori cinta mereka, terpaksa melukakan hati Lukman yang suci.. segala-galanya, berlaku kerana dia memang terpaksa.. sedangkan, hatinya menangis tidak tertahan, deritanya seperti tidak
berpenghujung.
xxxxx
“Kenapa ni, Fika? Sakit ke??” Nada suara Lukman kedengaran, bagai mengandungi cinta yang cukup sarat dengan sikap ambil beratnya terhadap Fika.
Spontan, Fika menggeleng pantas. Lukman hairan, hairan dengan perubahan sikap Fika yang terlebih dahulu dikenali sebagai gadis ‘happy-go-lucky’.
“Lukman.. saya.. saya nak bagitau awak sesuatu..” Fika cuba berlagak tenang dan selamba, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Cakaplah.. sejak bila mintak kebenaran nih?” Lukman tersenyum. Lesung pipitnya semakin terserlah. Dalam diam, Fika mengamati ketampanan teman lelakinya sekarang, mengamati keindahan senyuman yang sentiasa mengganggu lenanya. Dia terpaku seketika.
“Fika.. Fika!” Fika tersentak dari lamunannya. Dia cuba tersenyum, tersenyum kelat.
“Fika nak cakap pe?”
"Fika.. Fika nak pisah!" Lukman tersentak. Suapan nasi lemaknya terhenti. Dia terpempan, terpaku seketika. Kemudian, dia buat-buat senyum.
"Fika.. hari ni bukan april fool tau.." Lukman cuba berseloroh. Dalam jiwanya, dia amatlah berharap, Fika sekadar mengusiknya. Fika mendengus geram.
"Lukman Hakim.. sekarang saya kata, saya nak pisah.. dengan.. awak!" Fika berkata perlahan-lahan, berharap agar teman lelakinya akan faham. Dahi Lukman berkerut seribu. Hatinya berdebar-debar. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali, enggan mempercayai kata-kata yang terbit dari bibir teman wanitanya. "Fika.. tell me.. you are lying, right? You are lying, right??" Lukman bertutur penuh emosi. Dia mencapai lembut tangan teman wanitanya, memegangnya erat. Fika tersentak. Dia pantas menyentak pegangan Lukman itu. Kolam air matanya terasa berair sekarang. Dia pantas menyuapkan
nasi lemak dan sambal belacan yang amat pedas ke dalam mulutnya. Lukman terperanjat.
"Fika.. bukan ke awak takut pedas?" Fika cuba tersenyum. Air matanya mula menitis. Sebenarnya, dia makan makanan yang pedas hari ini, adalah untuk menyelamatkan dirinya. Agar dia mempunyai alasan, mengapa air matanya menitis.
"Dulu saya tak suka.. sekarang saya dah suka.. macam awak jugak Lukman.. dulu saya suka awak.. sekarang, no feeling at all!" Fika berterus-terusan menyuapkan makanan pedas yang dibencinya ke dalam mulut. Dia ingin segera menamatkan perjumpaan ini. Wajah Lukman diraupnya dengan kedua-dua telapak tangannya, matanya terpejam rapat. Hakikat yang terbentang luas di hadapannya, masih tidak mampu diterimanya.
Hati Fika, bagaikan dirobek-robek, dicarik-carik tattkala menyaksikan kekecewaan yang menyelubungi teman lelakinya ini. Dia terpaksa.. dia memang terpaksa.. sedangkan penderitaan yang dialaminya kini, berlipat ganda daripada penderitaan Lukman.
xxxxx
Air mata Fika merembes deras, membasahi pipi mulusnya. Hatinya, bagai ditetak dengan sebilah pisau yang baru sahaja siap diasah. Namun, dia akur dan pasrah. Perpisahan dengan Lukman, dilakukannya terlebih dahulu. Dia harus redha menerima hakikat ini. Dia sedar. Dia tidak tegar melawan takdir sekarang. Kerana, dia hanyalah insan biasa
ciptaan ALLAH.
xxxxx
Dahi Puan Mariam berkerut seribu tatkala dia melihat mata anak daranya seperti merah-merah. Barangkali, selepas menangis. Hatinya tertanya-tanya.
"Fika.. nape ni?" Puan Mariam menerpa ke arah anaknya itu. Fika menarik nafas panjang, dia kemudian menggeleng perlahan. Sebak di dadanya masih bersisa.. jiwanya seperti terdera tidak berkesudahan.
"Fika.. jangan bohong tau.." Puan Mariam memberi amaran, sekali gus menasihati Fika agar meluahkan masalahnya. Sebak Fika semakin tidak tertahan. Hatinya semakin ngilu terasa. Lantas, dia menyembamkan mukanya pada bahu ibunya, dan menangis tersengguk-sengguk. Puan Mariam terpinga-pinga. Namun, dia mengusap-usap kepala Fika, untuk memberi ketenangan kepada anaknya itu.
xxxxx
Puan Mariam menghulurkan beberapa helai tisu kepada Fika, menyuruh anaknya untuk mengemas air matanya yang masih bertakung di kelopak matanya itu.
"Fika.. nape nak buat Lukman cam ni??" Puan Mariam bertanya. Sebentar tadi, segala-galanya yang berlaku, telahpun dimaklumkan kepadanya. Sebenarnya, dia agak tidak bersetuju dengan perbuatan anaknya itu. Baginya, anaknya perlulah berkongsi masalah ini dengan Lukman. Bukannya melukakan hati Lukman sebegini.
"Mak.. Fika.. Fika dah buat salah ke?" Puan Mariam terdiam. Dia enggan menjawab pertanyaan anaknya itu. Enggan menjadikan anaknya serba-salah pula.
"Fika.. Lukman tu.. tak berdosa tau.. dia cuma ikhlas cintakan Fika aje.." Puan Mariam berkata, namun tidaklah menjawab pertanyaan Fika sebentar tadi secara langsung. Fika mengeluh pendek. Beban yang dipikulnya, seperti menghempap sekeping hatinya sekarang. Sesak sungguh jiwanya kini. Dia juga bingung. Tepatkah keputusannya itu?
Sedih benarkah Lukman sekarang?
"Tapi.. tapi Fika ada kanser, mak.. Fika tak leh nak hidup lama-lama.. Fika tak nak susahkan Lukman.." Fika berkata, meluahkan bebannya, masalah yang menghimpitnya sekarang. Kepalanya terasa berat benar sekarang.
Puan Mariam menarik Fika ke dalam pelukannya. Dia cuba menahan air matanya, agar tidak tumpah lagi. Berasa sungguh belas terhadap Fika. Dalam keadaan sebegini, menghidap penyakit kanser, tanpa disangka-sangka, Fika masih berfikir demi kepentingan orang lain.
"Mak.. Fika benar-benar dah buat salah ke??" Fika memeluk ibunya erat. Dia benar-benar ingin mencari jawapan yang tepat sekarang. Atas keputusan yang telah dibuatnya semalam.
"Fika.. apa-apa pun.. mak pasti akan sokong Fika.. Fika ni.. memang anak kesayangan mak selama-lamanya.." Puan Mariam bertutur ikhlas. Pelukannya semakin erat. Akhirnya, air matanya menitis jua, membasahi tudung merah jambu yang dipakai Fika.
xxxxx
Air mata Fika mengalir, semakin deras. Foto yang diambilnya bersama-sama dengan Lukman dahulu, masih tersimpan kemas dalam biliknya. Seminggu ini, air matanya sering bercucuran. Dia masih tidak faham. Idea untuk berpisah dengan Lukman, semuanya terbit dari benak mindanya. Mengapa dia masih tidak mampu melupakan jejaka itu? Mengapa cinta mereka terlalu mantap dan utuh? Langsung tidak mampu dirobohkan. Perasaannya berkecamuk kini. Dia pantas menyeka air matanya yang
merembes tidak henti-henti. Memori yang dikecapi bersama Lukman dahulu, masih menghantui mindanya, bermain-main di tubir matanya. Di sebalik pintu, Puan Mariam tunduk. Dia terdengar tangisan anaknya. Hari ini, bukanlah julung-julung kali. Dia tahu. Anaknya itu terlalu menderita. Tampaknya, dia perlu mengambil tindakan yang selanjutnya walaupun dia tahu, anaknya tidak akan bersetuju dengan perbuatannya ini. Namun, dia tidak kisah akan semua itu tatkala dia terfikirkan kebahagiaan anak daranya itu, Fika.
xxxxx
Lukman membelek-belek fail kliennya seketika. Dia menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kerjaya, mengharapkan agar dapat melupakan Fika. Dia kerap kerja sehingga larut malam. Dia sedar. Dia harus melepaskan Fika pergi, jika kesudahan ini, yang Fika inginkan. Dia tidak boleh memaksa bekas teman wanitanya untuk menerimanya semula. Cinta.. memang tidak boleh dipaksa. Bukankah ini prinsip yang perlu difahami semua?
Hikmah yang tersembunyi di sebalik perkara ini, hampir setiap kes di mahkamah, dimenanginya. Pendapatannya, turut bertambah lumayan. Tidak perlu diperkatakan lagi, popularitinya semakin meningkat. Kliennya semakin bertambah.
Lukman menggeliat, cuba meregangkan urat-uratnya yang tegang seketika. Kotnya yang tersidai di atas sofa panjang pejabatnya, dicapai kini. Dia haruslah menepati temu janjinya dengan salah seorang klien di kafe.
xxxxx
Puan Mariam melambai-lambai tangannya, menyuruh Lukman menuju ke arahnya. Lukman tersentak. Tidak menyangka, klien yang mempunyai temu janji dengannya sekarang, merupakan ibu kepada bekas teman wanitanya dahulu! Demi kerjayanya, dia menabahkan diri untuk menerpa ke arah Puan Mariam.
"Selamat sejahtera, puan.." Lukman bertutur sopan, dia tunduk seketika dan bersalam dengan Puan Mariam. Puan Mariam tersenyum hambar. Menyenangi kesopanan bekas teman lelaki anaknya itu.
"Puan, apakah masalah yang puan hadapi sekarang?" Lukman mengemukakan soalan, setelah mengambil tempat duduk menghadap Puan Mariam.
"Lukman.. bukan saya yang ada masalah.. yang hadapi masalah serius tu.. orangnya Fika.." Lukman terperanjat. Dia tersentak, terkelu. Dan pelbagai perasaan mula menguasai dirinya. Perasaannya bercelaru sekarang. Dia terpinga-pinga, masih tidak memahami makna kata-kata Puan Mariam itu.
"Er.. puan.. saya.. saya tak faham.." Lukman berterus-terang. Puan Mariam terdiam. Akhirnya, dia pun menceritakan segala-gala bala yang menimpa anaknya itu, kepada Lukman. Sejurus itu, Lukman terus berubah riak. Dia tunduk dan memejam matanya erat. Sungguh, dia tidak menyangka Fika ingin menamatkan hubungan mereka, semuanya gara-gara penyakit kanser yang dihidapnya sekarang. Dia mula berasa serba-salah.
"Puan.. saya.. saya nak jumpa Fika sekarang.." Lukman mengemukakan permintaannya. Dengan senang hati, Puan Mariam pantas mengangguk. Lukman pantas mencapai briefcasenya, dan terus berlalu dari situ. Tidak sabar, ingin berjumpa dengan suri hatinya.
Puan Mariam tersenyum bahagia. Tampaknya, Fika tidak mempunyai alasan lagi untuk menolak cinta raja hatinya itu!!!
xxxxx
"Mak.. tak de kunci ke?" Fika bertanya perlahan sambil membuka pintu apartmennya. Dia kemudiannya tersentak dan terperanjat. Tidak menyangka, Lukman datang berjumpa dengannya. Dia terpaku. Begitu juga dengan Lukman. Nafasnya menderu kencang. Satu perasaan halus, bagaikan terbit dari sanubarinya. Air matanya melimpah keluar, meruah-ruah. Membanjiri pipinya. Dia menekup mulutnya. Dia menangis tersedu-sedan. Sakit hati Lukman, dia terus menerpa ke arah Fika, memeluknya erat. Seperti enggan melepaskan bekas teman wanitanya itu. Dia mengusap-usap kepala Fika, penuh rasa cinta. Maka, termeterailah satu ikatan cinta, walaupun tidak sah, antara dua insan ini.
xxxxx
Fika tersenyum bahagia. Walaupun harinya tidak panjang, tinggal beberapa tahun, tidak sampai sedekad, dia tetap berasakan, dialah perempuan paling bahagia di muka bumi ini! Dia menyiang ikan kembong di dapur, sambil bersiul-siul. Senyuman manis, tidak lekang dari bibirnya sejak semalam. Semalam, Lukman berjumpa dengannya dan memohon, untuk menjalin semula ikatan cinta mereka yang terputus. Kata Lukman juga, dia tidak kisah tentang penyakit kanser yang dihidapinya.
Oleh itu, tanpa berfikir panjang, sudah tentu dia menerima cinta Lukman. Rasa rindu yang tertahan-tahan, terlerai jua. Hari ini, dia bercadang untuk memasak sesuatu yang istimewa untuk teman lelakinya itu. Tiba-tiba, telefon bimbitnya melolong, minta untuk dijawab.
"Hello.." Fika menyapa ceria.
"Salam sejahtera.. adakah ini Cik Fika?" Suara seorang gadis kedengaran, bertanya formal.
"Ya.." Fika menjawab sepatah, cukup pendek.
"Fika.. ini pihak Hospital Tanjung.. kami ingin memohon maaf kerana telah melakukan kesilapan pada laporan kesihatan Cik Fika.. sebenarnya, Cik Fika tidak menghidap kanser.. Cik Fika sangat sihat.."
Fika terpempan. Dia ternganga sekejap. Telefon bimbitnya terlepas dari pegangannya. Kemudian, dia melompat-lompat keriangan.
xxxxx
"Syukurlah.. Syukur alhamdullilah!" Puan Mariam meraup wajahnya. Dia berasa syukur tidak terhingga. Mujurlah anaknya sihat. Mujurlah anaknya bukan menghidap kanser. Mujurlah pihak hospital telah melakukan kesilapan. Kini, dia tidak perlu bimbang lagi. Tidak perlu bertemankan air mata saban hari lagi.
"Mak.. jangan sedih lagi ya.." Fika bertutur manja. Puan Mariam mengangguk. Fika tergelak halus, menjeling manja jejaka yang bakal diijabmakbulkan dengannya, Lukman Hakim!
Novel Terbaru
Sila komen-komen.
Panahan Cinta 3 sudah disiarkan oleh penulis.
Tunggulah untuk episod seterusnya..
Panahan Cinta 3 sudah disiarkan oleh penulis.
Tunggulah untuk episod seterusnya..
Pembacaku^^
cerpenku..
Tuesday, December 29, 2009
Air Mata Cinta Sejati
Posted by jc at 3:06 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment