Novel Terbaru

Sila komen-komen.



Panahan Cinta 3 sudah disiarkan oleh penulis.







Tunggulah untuk episod seterusnya..



Pembacaku^^

Wednesday, June 10, 2009

sebutlah namaku 8

Cuti semester ini banyak kuhabiskan masa dengan duduk di rumah menjaga anak-anak asuhan ibu. Walaupun aku agak kekok tetapi aku seronok. Ibu mengasuh pasangan adik-beradik. Yang sulung lelaki, Qayyum namanya. Baru tiga tahun manakala adiknya, berusia dua tahun bernama Naqiah. Keletah abang dan kecomelan si adik membuatkan aku tidak jemu-jemu menjaga mereka. Setiap keperluan mereka aku sediakan. Seboleh-bolehnya, aku mahu membuat segala-galanya untuk mereka. Biar ibu berehat secukupnya.

Tetapi, petang ini aku terpaksa melupakan tugasku menjaga mereka kerana aku sudah berjanji dengan Suraya untuk ke Batu Pahat. Aku mahu menyemak keputusan peperiksaan yang sudah diumumkan semalam di kafe siber. Nasib baik Suraya sudi menemaniku.

Suraya merupakan teman sekampung yang paling akrab denganku. Malangnya, dia tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPT kerana masalah kewangan. Keluarganya golongan sederhana. Dia anak sulung, adik-adik ramai pula. Jadi, dia terpaksa melupakan niatnya untuk menyambung pelajaran demi membantu keluarga. Dia hanya bekerja sebagai QC di sebuah kilang eletronik di Batu Pahat setelah tiga tahun bekerja sebagai operator. Walaupun aku sudah berjaya ke menara gading, aku tidak pernah melupakan sahabat baikku itu. Suraya jugalah yang menjaga ibu semenjak kakiku melangkah ke menara gading.

Seperti yang dijanjikan, tepat pukul 4.00 petang Suraya datang dengan motosikalnya. Aku mendapatkannya yang sudah menunggu dengan sebuah lagi topi keledar. Ibu mengekoriku. Rumah kami hanya selang empat buah rumah sahaja. Kami berkawan rapat sejak sekolah rendah lagi. Malah, keluarga Suraya juga baik terhadapku.

"Hati-hati bawak motor tu, Su. Jangan bawak laju-laju sangat," pesan ibu.

Suraya segera mengangguk faham.

"Mak Cik Nora jangan risau, saya dah ada lesen memandu yang sah. Polis nak saman pun tak berani," balasnya secara bergurau. Ibu dan aku ketawa geli hati.

"Ibu, Lis pergi dulu," ucapku sambil menghulurkan salam kepadanya. Kucium tangan dan kedua-dua belah pipinya. Kemudian ibu mencium pipiku pula.

"Ibu doakan Lis dapat Anugerah Dekan lagi semester ni," ucapnya sambil memegang pipiku. Aku tersenyum gembira.

"Terima kasih, bu." Aku tahu, doa ibu sentiasa mengiringiku.

"Jangan balik lambat sangat."

Nasihat ibu itu kubalas dengan anggukan. Setelah mengikat tali topi keledar dengan kemas, aku membonceng motosikal Suraya. Beg sandang aku letakkan di dalam raga. Ibu melambai-lambaikan tangan mengiringi pemergian kami.

"Kita nak ke mana dulu ni?" soal Suraya setelah motosikalnya bergerak.

Aku yang membonceng merapatkan jarak dengan Suraya supaya mudah kami berinteraksi di atas motosikal. Suraya membawa motosikalnya dengan kadar kelajuan yang sederhana.

"Kita terus pergi Apple Cafe," arahku.

"Okey!" Suraya setuju.

"Lepas tu kita pergi KFC, aku belanja."

"Cantik!" ujar Suraya sambil menaikkan ibu jari tangan kirinya. Girang apabila mendengar perkataan 'belanja'.

Angin yang menderu lembut menyapa ke mukaku. Rambutku yang melepasi bahu beralun-alun mengikut arah tiupan angin. Dalam kepalaku berteka-teki dengan keputusan peperiksaan yang bakal aku ketahui sebentar lagi. Mampukah aku mengekalkan Anugerah Dekan yang aku perolehi pada semester lalu? Berapa agaknya CGPA yang aku perolehi semester ini? Macam mana dengan mata pelajaran Introducion of Economics yang begitu susah itu? Dapat A kah?

Sedang aku bermain dengan akal fikiranku itu, sebuah motosikal menghimpit kami. Aku pandang wajah pemuda yang membonceng. Dia memandang tajam ke arahku. Wajahnya manis dihiasi dengan tahi lalat sebesar kepala mancis di dagu. Wajah pemandunya aku tidak nampak kerana terlindung dengan topi keledar fullface.

Mereka merapati kami membuatkan Suraya mengalami kesukaran mengawal motosikalnya. Kami mula cuak dengan perilaku mereka. Mereka semakin rapat. Tanpa kami duga, pemandu motosikal itu mengambil begku dan Suraya yang terletak di dalam raga. Suraya cuba menepis, tetapi keadaan motosikal jadi tidak stabil. Aku cuba juga menghalang lelaki itu mencapai beg-beg kami, namun tidak sampai. Sebelum lelaki itu memecut, dia sempat menolak motosikal yang kami naiki dengan kaki kirinya.

Akhirnya, kami menjerit ketakutan kerana motosikal yang kami naiki terhumban ke kiri jalan. Suraya bersusah payah mengawal motosikal supaya tidak jatuh. Namun, tidak berjaya. Mujur kami tidak apa-apa. Hanya calar-balar di lengan. Pucat muka kami. Alhamdulillah.... ALLAH masih sayangkan nyawa kami.

Pemboncengnya berkali-kali menoleh ke belakang memandang kami. Kerana dihimpit perasaan marah, Suraya cuba mengejar motosikal itu tetapi tidak berdaya. Apalah sangat motosikal Honda EX5nya jika hendak menandingi motosikal RXZ itu. Kami hanya mampu menelan asap motosikal itu sahaja dengan penuh kehampaan.

Aku mengeluh lemah. Jika terkenangkan kejadian itu, hatiku sakit. Geram benar dengan sikap peragut. Harap muka sahaja handsome, tapi peragut. Sejak hari itu, aku memahatkan gambaran wajah peragut itu dalam hatiku. Tidak mungkin aku akan lupa sampai bila-bila. Aku amat berharap suatu hari nanti aku berjumpa dengan peragut itu. Aku akan 'kerja'kan dia cukup-cukup. Biar puas hatiku ini.

Aku memandang jam di dinding. Tepat pukul 10.50 malam. Aku harus tidur awal hari ini supaya esok aku bangun dengan segar dan dapat melupakan kejadian buruk hari ini. Lampu bilik kupadamkan. Aku menuju ke katil lalu berbaring senang di atasnya. Tidak lama selepas itu, aku hanyut dibuai mimpi.

*******************************************************

0 comments: